Rabu, 30 Januari 2013

jangan marah saya..........


SETIAP hari kita berdepan dengan pelbagai pengalaman yang mungkin boleh mencabar kesabaran.
Melayan kerenah anak-anak yang degil, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya, menurut kehendak bos yang keras kepala atau beratur di barisan kaunter pasar raya terlalu panjang kadangkala boleh membuat seseorang hilang rasional berfikir.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu beberapa episod ketidaksabaran 
 akan mencetuskan tindak balas fisiologi yang menjejaskan kesihatan anda.
Menurut Dekan Program Siswazah di Pace University, New York City, Amerika Syarikat (AS), 
Daniel Baugher, ketidaksabaran boleh menyebabkan keresahan dan permusuhan.
Beliau yang mengkaji psikologi personaliti dan sosial memberitahu, 
jika seseorang itu sentiasa gelisah, tidurnya boleh terjejas.
"Hidup dalam persekitaran yang segalanya bergerak pantas dan taksub 
 teknologi pada abad ke-21 ini membuatkan seseorang itu kurang sabar.
"Mereka mahu segala-galanya dengan segera dan menjangkakan
 perkara-perkara perlu dilakukan dengan lebih cepat," katanya.
Sesetengah individu memang secara semula jadi tidak sabar.
"Tahap toleransi setiap orang berbeza," katanya.

Personaliti jenis A berisiko tinggi
Selalu mudah terasa dan bersikap kompetitif, individu berpersonaliti jenis A suka mendesak. Mereka tidak mampu bertoleransi apabila sesuatu itu tidak dilakukan mengikut cara mereka.
"Individu dengan personaliti ini cenderung meluahkan kemarahan apabila mereka tidak sabar," kata Dr. Redford Williams yang merupakan Doktor Siswazah di 
Duke University Medical Center di Utara Carolina, AS.



Williams menganggarkan lebih kurang 25 peratus warga AS mempunyai personaliti jenis A. 
Ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada masalah 
kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Kajian pada tahun 2003 yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association,
 para penyelidik melaporkan ramai individu yang tidak sabar dan 
pemarah berkemungkinan menghidap darah tinggi pada masa akan datang.

Ketidaksabaran jadi stres

Apabila seseorang kerap hilang sabar dan marah, tubuhnya bertindak 
balas kepada tekanan tersebut dengan melepaskan hormon seperti adrenalin atau kortisol.
Paras kortisol dan adrenalin yang tinggi akhirnya boleh 
menyebabkan pertambahan berat badan, gula dalam darah dan tekanan darah tinggi.

Dalam satu kajian, penyelidik mendapati bahawa golongan 
dewasa yang mempunyai paras 'permusuhan' tinggi berisiko 
mempunyai pembentukan plak di arteri koronari.
"Hormon-hormon stres akan merangsang platelet hingga membuatkannya membeku pada arteri yang sudah mengecil kerana penyakit jantung. Ia satu proses 
yang boleh mengakibatkan serangan jantung. 
Hormon tersebut juga menyebabkan sel-sel lemak 
melepaskan lemak ke dalam aliran darah," 
Jelasnya, lemak tersebut akan terenap pada plak di dalam
 arteri yang akhirnya membesarkan plak sekali gus 
meningkatkan risiko arteri tersumbat.

Mengatasi ketidaksabaran

Beberapa kajian menunjukkan bahawa program pengurusan 
tekanan boleh membantu orang mudah baran.
Mengajar seseorang bagaimana mengawal perasaan marah dan permusuhan boleh mengurangkan tekanan darah serta berat badan dari semasa ke semasa.
"Bukti yang diperoleh daripada latihan tekanan sangat menggalakkan, namun kajian belum menunjukkan bahawa ia boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Cara terbaik bagi orang ramai untuk mengendalikan situasi mengundang kemarahan dan respons negatif adalah dengan menarik nafas sedalam mungkin dan nilai apa yang mereka rasa.
"Tanya diri anda. Adakah ini penting untuk saya? 
Adakah munasabah untuk saya rasa marah? Adakah ini semua berbaloi?
"Secara asasnya, cuba bercakap pada diri sendiri jauh daripada perasaan marah," pesan Redford.

1 ulasan:

ASYIQ berkata...

Salam cikgu...

Lama tak dtg sini...

Tahniah sbb msh terus menulis wpun nmpk sunyi dan sepi....:)

Eco Kid Adventure on Facebook